Monday, September 8, 2008

SEMINAR BAHASA ROJAK: KECELARUAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU

SEMINAR BAHASA ROJAK: KECELARUAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU

Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bersama dengan Persatuan Bahasa Moden Malaysia

18 – 19 Julai 2007

Bahasa Rojak dan Karisma Penutur

Abdullah Hassan, Ph.D.
Profesor Emeritus,
Fakulti Bahasa
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Abstrak

Gaya komunikasi ditentukan oleh konsep diri. Konsep diri berkait rapat dengan karisma. Oleh itu kita dapat menentukan karisma pengguna bahasa kacukan.

Kata kunci: bahasa tinggi, bahasa rendah, bahasa kacukan, gaya komunikasi, konsep diri, sombong bahasa, gangguan sistem, karisma.

Konsep Diri (Self-Concept)

Bahasa yang kita gunakan dalam berkomunikasi mencerminkan diri kita. Gaya kita berbahasa bergantung rapat dengan bagaimana kita melihat diri kita sendiri, dan bagaimana kita membaca atau mempersepsi dunia dan penutur lain di sekeliling kita. Inilah yang dikatakan konsep diri kita. Apabila kita melihat diri kita sebagai seorang terpelajar, maka dengan sendirinya kita mengawal bahasa yang kita gunakan bagi mencerminkan citra diri kita. Apabila kita kurang memahami iklim komunikasi di sekeliling kita, maka kita tidak akan memberi pengiktirafan kepada faktor-faktor di sekeliling kita tersebut.

Namun, apabila menggunakan bahasa Melayu, kita mungkin mendapati ada penutur bahasa Melayu yang tidak menyedari hakikat ini. Kita mendengar penutur bahasa Melayu menggunakan bahasa yang rendah. Bahasanya bercampur aduk, iaitu bahasa Melayu dengan Inggeris. Percampuran itu dilakukan pada setiap peringkat penguasaan bahasa: sebutan, ejaan, imbuhan, frasa, ayat, kosa kata, makna dan peribahasa. Lakuan bahasa begini sering berlaku di kalangan penutur asli bahasa Melayu. Fenomena begini dapat dianalisis pada peringkat lakuan luaran, yakni daripada yang dapat didengar dan bibaca. Ini dilakukan dalam bentuk apa yang dicampurkan, di mana dilakukan dan apa sebabnya.

Pun begitu kita perlu juga mengetahui proses psikologi yang berlaku dalam diri penutur yang mempamerkan lakuan bahasa begini. Setiap lakuan yang kita pamerkan adalah didahului oleh kesimpulan yang dibuat terhadap iklim komunikasi yang terlibat. Artikel ini akan melihat aspek ini.

Lakuan bahasa begini tidak dilakukan oleh bukan penutur bahasa asli, yakni bukan penutur bahasa Melayu. Penutur yang bukan penutur asli bahasa Melayu belajar bahasa Melayu secara bahasa kedua secara formal. Oleh sebab itu, bahasa yang mereka tuturkan adalah mematuhi aturan tatabahasa. Tetapi, penutur asli bahasa Melayu sering tidak mematuhi aturan tatabahasa yang lengkap.

Fenomena ini ada kaitan dengan konsep diri penutur bahasa Melayu. Apakah agaknya konsep diri penutur Melayu yang menggunakan bahasa Melayu kacukan ini? Kemungkinannya penutur asli bahasa Melayu ini tidak pun sedar tentang konsep diri yang mereka pamerkan.

Bahasa Tinggi dan Rendah

Bagi membolehkan kita membuat analisis ringkas terhadapa bahasa Melayu yang digunakan maka kita lihat dahulu ciri-ciri bahasa. Apakah ciri-ciri bahasa Melayu tinggi dan apakah ciri-ciri bahasa Melayu rendah. Bahasa Melayu tinggi ialah bahasa yang mempunyai ciri-ciri tatabahasa yang lengkap. Ini bermaksud:

a. ayat-ayat yang digunakan adalah lengkap dari segi tatabahasa, ada subjek dan predikat, penerangnya pada tempat yang menunjukkan hubungan sintaktik yang betul.
b. Menggunakan imbuhan dengan lengkap. Imbuhan kata kerja transitif per-, -kan dan –i selenkapnya. Imbuhan yang menunjukkan bangun ayat, iaitu me-, di-, ter- dan ber- selengkapnya. Imbuhan kata nama bagi menunjukkan makna yang berbeza selengkapnya, iaitu pen- (alat dan agen), pen- ... –an (proses), per- ... –an (hasil dan tempat), ke- ... –an (abtrak), -an (hasil), dll.
c. Menggunakan kosa kata yang terdiri daripada kata-kata konsep tinggi, kata yang lebih canggih bentuk dan maknanya.
d. Ganti nama yang lebih sopan dan menghormati orang lain seperti beliau, mereka, saya, dll. (dan bukan Ai, Yu, dia orang, lu, dll.)
e. Tanda baca yang lengkap
f. Mengungkapkan konsep, ilmu dan budaya tinggi
g. Bahasa orang terpelajar.

Bahasa Melayu tinggi adalah bertentangan dengan bahasa Melayu Rendah. Yang utama ialah, konteks penggunaan bahasa Melayu tinggi adalah berbeza daripada bahasa Melayu rendah. Bahasa Melayu baku adalah bahasa Melayu tinggi. Bahasa Melayu kacukan adalah bahasa Melayu rendah. Bahasa Melayu tinggi digunakan dalam konteks mengungkapkan budaya ilmu dan budaya tinggi. Ini adalah bertentangan daripada konteks bahasa Melayu rendah yang digunakan bagi konteks berjual beli dan interaksi sosial rendah yang terhad.

Konteks fizikal sangat menentukan taraf bahasa yang digunakan. Umpamanya, di dalam mahkamah, kita akan dengan sendirinya terpaksa menggunakan bahasa Melayu tinggi. Bahasa Melayu rendah seperti bahasa pasar tidak akn digunakan. Dalam mesyuarat, kita dengan sendiri memilih-milih perkataan dan ayat yang sesuai bagi mengungkapkan sesuatu idea, dan tidak mengeluarkan kata-kata sembarangan.

Kesan yang paling penting akibat menggunakan bahasa Melayu rendah ini ialah kita akan kelihatan tidak serius. Orang yang tidak menyusun perkara yang mahu diungkapkan dengan matang. Orang bercakap dengan tidak berfikir secara mendalam.

Oleh yang demikian, kita dapat membuat beberapa andaian yang berasas bagi menganalisis konsep diri penutur asli bahasa Melayu yang menggunakan bahasa Melayu rendah atau bahasa kacukan ini.

a. Penguasaan bahasa Melayu baku yang tidak lengkap ”sekerat belut sekerat ular,”
b. Menganggap diri mereka sudah mahir menggunakan bahasa demikian
c. Menganggap orang lain juga seperti mereka (down-levelling), merendahkan taraf orang
d. Tidak memperdulikan kesan kepada pendengar
e. Penguasaan ilmu yang meragukan ...
f. Main-main dan tidak serius.
g. Tidak terpelajar

Iklim Bahasa Kacukan: Contoh Penggunaan Bahasa Rendah (Pasar) Dalam Majlis Rasmi

Pada masa ini, ada kecenderungan pengacara televisyen dan radio menggunakan bahasa pasar, iaitu bahasa campuran.

a. ayatnya mungkin terdiri daripada bahasa lain daripada bahasa Melayu
b. struktur ayat tidak lengkap
c. imbuhan tidak digunakan, yang digunakan tidak mematuhi rumus tatabahasa
d. ganti nama dipinjam daripada Inggeris atau bahasa lain
e. kata-kata tidak signifikan (seperti istilah) pun dipinjam, proses peminjaman tidak menentu
f. kosa kata terdiri daripada kata-kata rendah dan bercampur
g. digunakan dalam konteks rendah, interaksi sosial yang rendah.

Ada kalanya bahasa ini juga berupa bahasa slanga yang dituturkan oleh remaja. Walaupun bahasa ini ternyata dapat mengkomunikasikan mesej, tetapi bahasa begini bukanlah bahasa budaya tinggi. Bahasa begini tidak rapi, bercampur-aduk, banyak menggunakan bahasa slanga. Ini adalah bahasa rendah yang hanya mampu mengungkapkan budaya rendah. Bahasa begini tidak sepatutnya menjadi bahasa yang digunakan melalui saluran rasmi pemerintah seperti radio dan televisyen.

Seorang artis wanita mencuba menarik minat penonton supaya menikmati rancangannya. Walau bagaimanapun, artis yang juga menjadi pengacara majlis di televisyen itu tidak mengiktiraf taraf formal sesuatu majlis yang ditayangkan di televisyen itu.

Dialog 1

Pengacara sebuah rancangan kelab remaja di televisyen mengeluarkan ungkapan seperti berikut.

Pengacara: Masa cuti lalu I ... berserta kru televisyen ... we all buat syuting di ... Harap you all akan menonton apa yang we all sediakan untuk you all ...

Dialog 2

Seorang artis wanita mengiklankan segmen muziknya untuk penonton. Bahasa artis tersebut adalah seperti berikut:

Artis: I sudah rakamkan empat buah album untuk you all. You all mesti dengar lagu-lagu I. I akan pilih lagu-lagu yang menarik spesiali untuk you ... Penerbit I dan member kru telivisyen ... they all telah menyediakan rancangan spesyel untuk you all. We all telah bekerja keras untuk you all.

Dialog 3

Pengguna bahasa pasar mudah menyamatarafkan semua orang dengan tarafnya sendiri (Kampung Baru, Ogos 1997)

Pelayan: You nak makan apa? You seleklah makan dari meja tu, you ambiklah apa you nak. Kemudian you bawak kat I, I kira bagi kat you.
Pelanggan: Cik puan, panggillah pelanggan ‘cik’ ... ‘encik’ dan ‘puan.’ Itu panggilan hormat.
Pelayan: You tak suka tak pa ...we all tak pernah dengar orang komplen pun ....

Dialog 4

Dalam sebuah pasaraya, pembawa majlisnya sangat aktif. Namun bahasa yang digunakannya adalah bahasa budaya rendah.

Pembawa acara: Mari pak long pak long, mak long mak long, mari .....
Pelanggan: Apa yang dibuatnya, tu?

Sebenarnya pembawa acara dalam siaraya bangunan, tidak menggunakan bahasa baku dan bahasa rasmi. Bahasanya adalah bahasa pasar.

Analisis
Bahasa pasar ialah bahasa yang menggunakan struktur ayat Melayu tetapi perkataan campuran dengan perkataan bahasa pinjaman. Yang paling ketara ialah bahasa pasar menggunakan kata ganti nama asing, iaitu I, you, we all, you all, they all, gua, lu, gua semua, lu semua, dia orang, semua orang, lu orang, kita orang, aya, ane, bai, dll.

Bahasa pasar adalah bahasa orang tidak terpelajar. Atau, digunakan oleh orang terpelajar kepada orang tidak terpelajar. Ini bukan bahasa rapi dan bahasa rasmi. Ini bahasa rendah, layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, di perhentian bas, dll. Dalam rancangan rasmi melalui televisyen ke seluruh negara, bahasa pasar tidak wajar digunakan. Menggunakan bahasa pasar ini sangat merendahkan taraf orang yang dilawan bercakap. Tatabahasa sosial yang dilanggar ialah:

1. Budaya Melayu memerlukan bahasa yang rapi digunakan dalam suasana rasmi. Bahasa pasar ini tidak ada tempat dalam majlis rasmi.
2. Menggunakan ganti nama bahasa pasar kepada orang datang daripada budaya rendah. Budaya tinggi menuntut bahasa yang rapi.
3. Dengan mengeyou-youkan penonton, pengacara menurunkan semua orang ke taraf mat dan minah rock sahaja.
4. Televisyen adalah saluran rasmi. Bahasa pasar dan bahasa campur-aduk tidak ada tempat dalam saluran rasmi.
5. Tidak menggunakan neka bahasa baku. Dalam suasana rasmi, perkataan dan sebutan pun mesti rasmi, iaitu bahasa baku.
6. Bahasa pasar tidak ada kehalusannya, peri laku penutur bahasa pasar juga akan menjadi kasar dan sumbang. Apabila kita menggunakan bahasa berbudaya tinggi, kita tidak tergamak berkelakuan kasar dengan pelanggan.

Apabila pelayan menggunakan ganti nama you kepada pelanggan, pelanggan merasa tidak dihormati. Malah dia merasakan dia disamakan dengan pelayan remaja yang menyebut dirinya I. Pada pihak pelayan pula, apabila dia menggunakan kata ganti nama you kepada semua pelanggan, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu dia telah berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting. Tanpa pelanggan perniagaan kita tidak ada. Oleh sebab itu pelanggan adalah bertaraf lebih tinggi daripada pelayan. Kita tidak boleh merendahkan mereka dengan mengeyou-youkan mereka. Elakkan perbalahan dengan pelanggan. Ini akan dapat kita buat dengan memanggil mereka Encik, Tuan, Puan, Cik dan Cik Puan. Gugurkan sama sekali ganti nama you dan I.

Apabila kita mahu menggunkan bahasa tinggi buanglah ganti nama pinjanan. Gunakan ganti nama hormat, iaitu: Tuan, Puan, Encik, Cik, para penonton, para pendengar, para peminat, barulah perilaku penutur juga turut berubah.

Bahasa yang berbudi Bahasa

Dialog 1

Pengacara kelab remaja.

Pengacara: Masa cuti lalu saya berserta kru televisyen. Kami membuat penggambaran di (...) Saya harapkan saudara semua akan menonton apa yang kami sediakan untuk saudara semua.

Dialog 2

Dialog yang sudah dibaiki adalah seperti berikut:

Artis: Saya sudah rakamkan empat buah album untuk saudara semua. Saudara semua mesti mendengar lagu-lagu saya. Saya akan pilih lagu-lagu yang menarik spesiali untuk saudara semua. Penerbit saya dan ahli kru telivisyen kami, semuanya telah menyediakan rancangan spesel untuk yaudara semua. Kami telah bekerja keras untuk saudara semua.

Dialog 3

Dialog yang sudah dibaiki)

Pelayan: Tuan-tuan dan Puan-puan hendak makan apa? Tuan-tuan dan puan-puan bolehlah memilih makanan dari atas meja itu. Tuan-tuan dan Puan-puan bolehlah mengambil apa makanan yang dikehendaki. Kemudian, bawalah kepada saya, saya kira untuk Tuan-tuan dan Puan-puau.
Pelanggan: Cik puan, panggillah pelanggan ‘cik’ ... ‘encik’ dan ‘puan.’ Itu panggilan hormat.
Pelayan: Sekiranya Tuan tidak suka tidak mengapa. Kami tidak pernah orang bersungut mengenai hal ini.

Dialog 4

Pembaikan:

Pembawa acara: MariTuan-tuan dan Puan-puan, mari lihat .....

Sebenarnya pembawa acara dalam siaraya bangunan, tidak menggunakan bahasa baku dan bahasa rasmi. Bahasanya adalah bahasa pasar.

Analisis

Bahasa pasar ialah bahasa yang menggunakan struktur ayat Melayu tetapi perkataan campuran dengan perkataan bahasa pinjaman. Yang paling ketara ialah bahasa pasar menggunakan kata ganti nama asing, iaitu I, you, we all, you all, they all, gua, lu, gua semua, lu semua, dia orang, semua orang, lu orang, kita orang, aya, ane, bai, dll.

Bahasa pasar adalah bahasa orang tidak terpelajar. Atau, digunakan oleh orang terpelajar kepada orang tidak terpelajar. Ini bukan bahasa rapi dan bahasa rasmi. Ini bahasa rendah, layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, di perhentian bas, dll. Dalam rancangan rasmi melalui televisyen ke seluruh negara, bahasa pasar tidak wajar digunakan. Menggunakan bahasa pasar ini sangat merendahkan taraf orang yang dilawan bercakap. Tatabahasa sosial yang dilanggar ialah:

7. Budaya Melayu memerlukan bahasa yang rapi digunakan dalam suasana rasmi. Bahasa pasar ini tidak ada tempat dalam majlis rasmi.
8. Menggunakan ganti nama bahasa pasar kepada orang datang daripada budaya rendah. Budaya tinggi menuntut bahasa yang rapi.
9. Dengan mengeyou-youkan penonton, pengacara menurunkan semua orang ke taraf mat dan minah rock sahaja.
10. Televisyen adalah saluran rasmi. Bahasa pasar dan bahasa campur-aduk tidak ada tempat dalam saluran rasmi.
11. Tidak menggunakan neka bahasa baku. Dalam suasana rasmi, perkataan dan sebutan pun mesti rasmi, iaitu bahasa baku.
12. Bahasa pasar tidak ada kehalusannya, peri laku penutur bahasa pasar juga akan menjadi kasar dan sumbang. Apabila kita menggunakan bahasa berbudaya tinggi, kita tidak tergamak berkelakuan kasar dengan pelanggan.

Apabila pelayan menggunakan ganti nama you kepada pelanggan, pelanggan merasa tidak dihormati. Malah dia merasakan dia disamakan dengan pelayan remaja yang menyebut dirinya I. Pada pihak pelayan pula, apabila dia menggunakan kata ganti nama you kepada semua pelanggan, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu dia telah berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting. Tanpa pelanggan perniagaan kita tidak ada. Oleh sebab itu pelanggan adalah bertaraf lebih tinggi daripada pelayan. Kita tidak boleh merendahkan mereka dengan mengeyou-youkan mereka. Elakkan perbalahan dengan pelanggan. Ini akan dapat kita buat dengan memanggil mereka Encik, Tuan, Puan, Cik dan Cik Puan. Gugurkan sama sekali ganti nama you dan I.

Apabila kita mahu menggunkan bahasa tinggi buanglah ganti nama pinjanan. Gunakan ganti nama hormat, iaitu: Tuan, Puan, Encik, Cik, para penonton, para pendengar, para peminat, barulah perilaku penutur juga turut berubah.

Dialog 5

Bahasa yang digunakan oleh seseorang mempunyai kaitan rapat dengan karisma penuturnya. Karisma penutur meningkat, yakni kelihatan sebagai orang terpelajar, orang yang berkaliber, dan mampu menguasai keadaan apabila menggunakan bahasa yang terkawal rapi. Seorang pemimpin atau ketua yang menggunakan bahasa campur, gaya bahasa percakapan dalam konteks rasmi adalah kelihatan seperti orang tidak terpelajar! Lihat contoh dialog seorang pemimpin Lembaga Hasil dalam Negeri (Tan Sri Zainol).

Pemimpin: Kebanyakan yang kata susah, tak buka enbelop pun ..... te dia punya fomet, eh senanglah!

Bila kita eksplen, eh senanglah!

Analisis:

1. Sebutan dialek Kedah, adalah bahasa percakapan.
2. Ayat tidak lengkap.
3. Menggugurkan imbuhan.
4. Mencampurkan perkataan Inggeris dalam wacana Melayu dengan sebutan seperti orang tidak bersekolah.
5. Kilihan kata ‘susah’ untuk ‘sukar’.
6. Intonasi seperti orang ‘bersembang.’
7. Tidak menghormati konteks rasmi, iaitu temuramah dalam televisyen awam.

Dialog berbdi bahasa bagi dialog No 4

Pemimpin: Kebabanyakan mereka yang mengatakan (borang cukai pendapatan) itu sukar, tidak membuka sampul suratnya pun!

Sebenarnya borang itu mempunyai format yang sangat mudah. Apabila mereka ditunjukkan format itu, maka barulah mereka sedar bahawa borang itu mudah difahami.

Kemudian, apabila dijelaskan pula, mereka pun terus bersetuju bahawa borang itu sangat mudah difahami.

Nota:

Memanglah, bahasa di atas mudah difahami oleh orang kampung. Oleh sebab otu mungkin bolehlah diguakan bagi menjelaskan borang itu kepada orang kampung, sekiranya mereka membayar cukai pendapatan.

Juga pendengar mendapat kesan yang mereka tidak dihormati. Juga, pegawai yang bercakap begitu di depan khalayak terpelajar, akan memebri kesan negatif bahawa beliau tidak dapat menggunakan bahasa yang baku dan rapi. Dengan kata lain, karismanya juga jatuh.

Faktor Yang Mewujudkan Bahasa Kacukan

Menurut Uriel Weinreicht (1957) yang menulis Languages in Contact, menimbulkan peminjaman, iaitu fenomena bahasa rojak, bahasa sms, bahasa slanga, dll.
Bahasa bertembung melalui beberapa cara:

1. Perpindahan, migrasi, koloni, tawanan perang dibawa ke tempat lain dll
2. Paksaan. Malaysia?
3. Berpindah tempat kerja, dihalau dari tempat asal, kuasa lain
4. Dasar langit terbuka, media bebas, membawa banyak pengaruh tv dll,

Konsep meminjam dalam bahasa berbeza daripada yang kita amalkan. Unsur bahasa yang dipinjam tidak dipulangkan. Ia menjadi sebahagian daripada bahasa yang meminjam. Apakah unsur yang dipinjam:

1. Bunyi, ejaan, sebutan (fekto = faktor, straktor = struktur, dll)
2. Frasa, ayat (ayat pasif dipinjam dpd bahasa Inggeris, lazat restoran?),
3. Kosa kata, istilah: banyak
4. Imbuhan, isme, pra, dll
5. peribahasa: batu loncatan, honeymoon, birthday celebrataion,
6. Unsur tatabahasa: telah = was, unsur jamak = ganda, dll.

Kenapa kita meminjam.

1. Diperlukan (istilah)
2. Memudahkan (berlaku dalam penutur asli bahasa Melayu)
3. Mendapat prestij (mungkin inilah yang menjadi dorongan penutur asli bahasa Melayu apabila meminjam daripada bahasa Inggeris)

Gangguan sistem

Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bahasa, berbilang kelas, berbilang taraf pada hari ini, maka seringlah berlaku maslah komunikasi silang budaya.

Bahasa ada banyak sistem. Sistem panggilan (sapaan) adalah berbeza dalam bebrabagi konteks dan situasi. Sebagai contoh konteks kampung, bandar. pejabat, jual beli, berpidato, bercakap di tv, mempunyai budaya sendiri.

Begitu juga dengan konteks, orang yang dilawan bercakap, rasmi tak rasmi, dll. Bagaiamana bahasa badan digunakan dll.

Baru-baru ini, banyak badan dan organisasi besar dibangunkan. Dari situ timbullah pula konteks baru, iaitu budaya korporat. Ini memerlukan kita menggunakan bahasa rasmi, rapi dan baku. Walau bagaimanapun, kebanyakan penutur Melayu dari luar bandar belum begitu mahir dengan sistem bahasa korporat ini. Bahasa korporat memerlukan penggunaan bentuk panggilan hormat, penggunaan bahasa rapi dan tidak dipendek-pendekkan.

Apabila penutur bahasa Melayu dari kampung masuk ke dalam dunia korporat, maka berlakulah gangguan terhadap penggunaan bahasa ini. Orang kampung menggunakan sistem panggilan kampung dengan memanggil semua orang lelaki lebih tua daripadanya sebagai abang dan lelaki yang lebih tua sebagai pak cik. Peniaga restoran memanggil pelanggannya dengan panggilan kampung, abang, kakak, makcik, dll. Pada hal pelanggannya merasa tidak dihormati apabila dipanggil begitu.

Begitu juga ungkapan bahasa basahan mula mengganggu sistem bahasa rasmi. Bahasa daerah dicampurkan dengan bahasa rasmi.

Sistem ganti nama bahasa Inggeris mengganggu sistem ganti nama Melayu.

Sistem sebutan dialek Kedah, Kelantan, dll mengganggu sistem sebutan bahasa baku.

Sistem kosa kata dan ungkapan dialek seperti jom adalah untuk dialek tersebut. Ia tidak boleh menggantikan marilah mengganggu kosa kata bahasa rasmi.

Ungkapan bahasa remaja seperti sure heboh, blah, balok, awek, adalah sesuai bagi kelompok penutur remaja. Apabila digunakan apabila bercakap dengan orang tua, ungkapan ini menjadi tidak sesuai. Apabila digunakan dalam konteks rasmi seperti dalam transaksi perniagaan, urusan temugga dan mesyuarat rasmi, bahasa ini menjadi biadab. Namum ungkapan remaja ini mula mengganggu bahasa rapi dan bahasa rasmi.

Implikasi

Contoh bahasa kacukan ini sungguh menular luas. Sukar kita menemui pensyarah, pemimpin, dll. yang menguasai bahasa Melayu tinggi. Akibatnya ialah, mereka dipersepsi sebagai orang yang tidak menguasai bahasa Melayu tinggi dengan empurna, dan tidak pula diperspesi sebagai orang yang menguasai bahasa bahasa Inggeris yang mencukupi. Orang yang menguasai bahasa Inggeris yang baik tidak akan mencampurkan bahasanya. Mereka akan langsung berbahasa Inggeris dengan sempurna, kerana mereka mengetahui kemahiran berbahasa Inggeris yang baik itu dikagumi. Lantas, mereka akan mempamerkan penggunaan bahasa Inggeris yang sempurna.

Mereka yang mencapurkan bahasa Melayunya dengan bahasa Inggeris yang patah-patah, dan lazimnya penuh dengan kesilapan, adalah mengharapkan orang mengatakan dia pandai berbahasa Inggeris. Yang jelas ialah, mereka yang mahir berbahasa Inggeris tidak akan mempamerkan lakuan bahasa demikian. Bahasa bercampur adalah bukti penguasaan bahasa Inggeris yang rendah. Buktinya banyak perkataan yang salah digunakan: mereka proaktif (proaktif bagi yang cuma aktif; show off digunakan bagi show up; respected bagi respective, improvise bagi improve – dilakukan oleh pensyarah bahasa Inggeris, kasut seasoned bagi lusuh, dll)

Implikasi Kepada Pengguna Bahasa Kacukan

Setiap orang mempunyai karisma. Cuma ada yang lebih berkarisma tinggi, ada yang berkarisma sederhana dan ada yang berkarisma rendah.

Ada banyak ciri karisma. Ketua ajaran sesat seperti Ashaari mempunyai karisma tinggi. Sedangkan Ayah Pin pun mempunyai karisma. Oleh sebab itu mereka mempunyai pengikut. Karisma mempunyai banyak ciri, iaitu:

Pakar: kredibel
Telus: tanpa dusta
Citra: paras, pakaian
Kemahiran berbahasa: lancar, fasih, terpelajar
Bertenaga: aktif
Tubuh: Tinggi

Dalam artikel ini kita melihat hanya ciri kemahiran berbahasa. Bahasa yang digunakan oleh seorang penutur, pensyarah, pemimpin adalah berkaitan dengan kemampuannya memujuk atau meyakinkan orang. Ringkasnya, mereka yang mempunyai kemahiran berbahasa yang lancar, lenkap, terpelajar, akan dipersepsi sebagai pemimpin yang baik. Ini sanagt penting bagi membentuk karisma seorang pemimpin.

Bekas pesiden Amerika Syarikat, Tuan Jimmy Carter terpaksa belajar bahasa yang baik bagi menjalankan tugasnya sebagai pemimpin, lebih-lebih lagi bagi menyampaikan ucapan. Bekas perdana menteri Malaysia juga dikatakan pernah menggunakan kepajaran perunding bagi menyampaikan pidato dengan baik dan berkesan. Ada prinsip-prinsip mempengaruhi hadirin. Bahasa yang lancar, bergaya, berkuasa, dan lengkap, adalah:

a. lebih meyakinkan dan persuasif
b. meninggikan kepercayaan hadirin
c. bahasa lelaki (tanpa keamatan)
d. bahasa korporat, lebih berkuasa
e. berkarisma.

Bandingkan bahasa yang digunakan oleh seniman seperti Jins Shamsudin dengan bahasa Chef Wan (termasuk latah-latahnya), bahasa Anwar Ibrahim dengan bahasa Abdullah Badawi, bahasa pengacara televisyen Malaysia dengan pengacara televisyen Malaysia. Kita akan mendapat gambaran yang jelas mengenai peranan bahasa yang digunakan dan karisma penuturnya.

Begitu jugalah, penutur bahasa kacukan akan dipersepsi sebagai tidak berkarisma, iaitu:

a. tidak berilmu, bukan pakar (pengungkapan ilmu memerlukan bahasa tinggi, ilmu dan idea dalam bahasa kacukan tidak kelihatan keilmuwannya)
b. tidak mahir menggunakan bahasa (pandai bercakap dipandang tinggi dalam budaya Melayu, seperti orang kampung dan tidak bersekolah)
c. tidak serius, seperti main-main apabila bercakap
d. tidak bijaksana (malah bahasa kacukan tidak boleh serius, dijadikan bahan ketawa dan makar)
e. menurunkan taraf atau tidak menghormati majlis dan hadirin
f. belum habis berfikir, atau tidak berfikir sudah bercakap.
g. kepimpinan yang lemah, tidak mempunyai kuasa persuasif.

Sebagai kesimpulannya, bahasa kacukan bukanlah bahasa budaya tinggi. Penuturnya dengan sendirinya menurunkan tarafnya kepada taraf orang tidak terpelajar, tidak berbudaya tinggi, main-main, tidak serius, tidak menghormati majlis dan pendengarnya. Penutur bahasa kacukan menurunkan karisma penuturnya.


Bibliografi

Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (1997), Daya Pengaruh dan Perubahan Sikap, Kuala Lumpur: UP&D.

DeVito, J.A. (1988), Human Communication, New York: Harper & Row Publishers.

DeVito, J.A. (2001), The Interpersonal Communication, New York: Longman.

Emmert, P. & Emmert V.J. Lusako (1976), Intrepersonal Communication, Dubuque, Iowa: Wm. C. Brown Publishers.

Fisher, A.B. & Adams, K.L. (1994), Interpersonal Communication, Singapore: McGraw-Hill Book Co.

Johannesen, J (1990), Ethics in Human Communication, Prospect Heights: Waveland Press Inc.

Knapp, M.L. & Vangelisti, A.L. (2000), Interpersonal Communication and Huan Relationship, Boston: Allyn and Bacon.

Samovar, L.A. & Porter, R.E. (1997), Intercultural Communication, Belmont: Wadsworth Publishing Company.

Shopen, T. (1979), Languages and Their Status, Cambridge, Massachussetts: Winthrop Publishers Inc.

Trenholm, S. & Jensen, A. (1992), Interpersonal Communication, Belmont, California: Wadsworth Publishing Company.

Verderber, R.F. & Verderber, K.S., (1995), Inter-Act Using Interpersoal Communication Skills, Belmont: Wadsworth Publishing Company.

Whitman, R.F. & Boase, P. H. (1983), Speech Communication, New York: McMillan Publishing Co Inc.

Sunday, September 7, 2008

PERSIDANGAN KEBANGSAAN PENERBITAN ILMIAH 2006

PERSIDANGAN KEBANGSAAN PENERBITAN ILMIAH 2006
Anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa,
Persada Johor, Johor Bahru

9 – 11 Januari 2007

Membina Kepustakaan Melayu Melalui Terjemahan

Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan
Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris, dan
Presiden, Persatuan Penterjemah Malaysia

Rasionale

Dalam Seminar Peradaban Melayu anjuran UKM pada 1 -3 Mac 1997, saya mengatakan tidak ada bangsa yang membina peradabannya tanpa kepustakaan. Tidak pernah juga ada bangsa yang membina peradabannya di atas kepustakaan dalam bahasa orang lain. Setiap bangsa, walaupun kecil membina peradabannya atas kepustakaan dalam bahasanya sendiri. Negara kecil yang maju seperti Belanda, Sweden, Norway, Denmark, Belgium, Switzerland mempunyai kepustakaan dalam bahasa sendiri. Tambahan pula, apabila kita menuliskan ilmu di dalam asing, katakanlah Inggeris, kita tidak memperkayakan pekustakaan bangsa sendiri. Kita hanya menambah sedikit ilmu lagi kepada kepustakaan Inggeris. Usaha membina kepustakaan melalui terjemahan pernah berjalan lancar melalui aktiviti terjemahan di Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti tempatan sebelum 2002. (Katalog penerbitan DBP 1987, Katalog ITNMB dalam talian, dan kertas laporan PPA 9, 2003). Aktiviti ini menurun selepas 2002.

Belajar Dari Sejarah Islam Membina Kepustakaan

Apabila orang-orang Arab Islam menakluki wilayah Afrika utara, mereka mula bertembung dengan orang-orang yang mempunyai peradaban tinggi. Pertembungan ini membawa banyak pengaruh kepada orang Arab Islam; dalam menstruktur masyarakat, dalam memerintah, dalam seni dan teknologi, dan dalam kehidupan intelektual mereka. Wilayah Afrika utara, Farsi, Siria, empayar Bezantin, dan Sepanyol, mereka mendapati wilayah ini sudah mempunyai tradisi intelektual yang tinggi. Mereka mewarisi tradisi ini daripada sarjana Yunani. Falsafah (dan ilmu) Aristotle, Plato dan Socrates di bawa masuk ke dalam bahasa Koptik (Mesir kuno), Siria, dan Farsi. Sarjana-sarjana di Siria dan Alexandria adalah Kristian dan Yahudi. Manakala yang di Farsi adalah Kristian, Nestorian, dan Zoroastrian (Majusi). Wilayah ini mempunyai ramai sarjana falsafah, sains, kimia, perubatan, astronomi, psikologi, metafizik, logik, dan arkitektur.

Dalam perkembangan intelektual inilah kita akan melihat bagaimana pemimpin Islam membina kepustakaan Islam, yang menjadi asas kepada pembinaan peradaban Islam yang gemilang selama 400 tahun. Kita dapat memerhatikan ada pola yang jelas dilalui oleh orang-orang Islam dalam membina tradisi intelektual mereka. Daripada peniru mereka menjadi pencipta. Kita dapat melihat laluan yang sama berlaku dalam budaya ilmu di negara-negara yang lebih hampir dengan kita dalam sejarah, seperti pengalaman Jerman, Inggeris, Itali, Jepun, Korea dan Taiwan. Ada pengajaran yang boleh kita dapati daripada pengalaman ini.

Perkembangan Bahasa Arab: Dalam perkembangan empayar Islam, terutamanya pada zaman khalifah Muawiyah, tidak ada dasar memaksakan bahasa Arab ke atas wilayah baru. Bahasa Arab dipelajari untuk kepentingan pemungutan hasil dan juga pentadbiran undang-undang. Penggunaannya dalam pentadbiran telah menjadikan bahasa Arab diterima sebagai perantaraan umum. Akhirnya ia menjadi wahana untuk pengungkapan pemikiran dan ilmu di seluruh wilayah Islam. Penggunaan sesuatu bahasa itu dalam pentadbiran akan menjadi pemangkin kepada perkembangannya dalam bidang ilmu dan komunikasi.

Kegemilangan Kesarjanaan Dalam Empayar Islam: Abad ke-8 hingga ke-13 dikenali sebagai kemuncak kesarjanaan Islam dalam bahasa Arab. Kehidupan orang Islam merupakan suatu peradaban tinggi. Dalam abad ke-12 dan 13, Baghdad sudah berkembang sebagai bandaraya yang mengandungi sekolah, kolej, universiti, masjid dan hospital. Lampu menerangi lorong dan jalan pada waktu malam. Di samping itu, orang-orang Kristian yang mengunjungi Kordova di Sepanyol terhairan-hairan melihat bandara yang besar dianggarkan mengandungi lebih 200,000 bangunan perumahan, jalan-jalannya dibuat daripada batu, air yang dihantar ke rumah-rumah melalui saluran, lampu mencerahi jalan pada waktu malam, dan istana khalifahnya tersergam indah. Bagaimanakah pemimpin Islam berhasil menegakkan peradaban tinggi ini? Tentu sekali bukan ada satu faktor saja yang bertanggungjawab. Sistem pemerintahan yang efisien, kekuatan tentera, kestabilan kuasa politik, eksploitasi sumber ekonomi yang bijak, dan banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada pencapaian taraf kehidupan yang tinggi ini. Di samping semua faktor ini, terdapat faktor ilmu. Pemimpin Islam sangat memuliakan ilmu. Mereka membina kepustakaan dalam bahasa Arab. Sarjana Islam sangat kreatif dan inovatif dalam membawa perkembangan kepada ilmu. Pendidikan menjadi keutamaan dalam pemerintahan mereka. Kepustakaan dalam bahasa Arab menjadi yang terulung dalam tempoh hampir 500 tahun, dari abad ke-8 hinga ke abad ke-13. Kita akan melihat bagaimana tradisi intelektual ini berkembang subur dalam pemerintahan pemimpin Islam. Budaya memuliakan ilmu ini dapat kita lihat dalam dua bidang. Pertama, bagaimana masyarakat Islam, terutamanya pemimpin Islam memperlakukan ilmu. Kedua, bagaimana mereka memperlakukan ilmuwan.

Membina Sekolah Dan Universiti: Pemimpin Islam sangat menghormati orang-orang yang berilmu, dan sangat menyanjung ilmu pengetahuan. Mereka mendirikan ratusan pusat pengajian tinggi kerana mahukan orang ramai mendapat peluang belajar pelbagai ilmu. Kurikulum sekolah rendah meliputi mata pelajaran membaca, menulis, mengira, sains, geografi, sejarah dan lain-lain. Hartawan-hartawan Islam mewakafkan rumah-rumah mereka untuk dijadikan sekolah dan perpustakaan untuk orang awam. Orang-orang Islam adalah bangsa pertama yang mencipta konsep pendidikan universal. Sekolah-sekolah dibina dalam satu kawasan dengan masjid. Setiap sekolah disediakan dengan perpustakaannya sendiri.

Perpustakaan Sebagai Pusat Pendidikan Ilmu: Oleh sebab sikap mereka yang sangat memuliakan ilmu itulah maka, perpustakaan-perpustakaan besar tumbuh dengan subur di pusat pemerintahan Islam. Lazimnya perpustakaan itulah yang berkembang menjadi pusat pengajian atau kolej dan universiti. Akademi Baitul Hikmah di Baghdad itu berasal daripada sebuah perpustakaan bernama Khazanah al-Hikmah. Begitu jugalah perpustakaan di Mosul dan Basrah, kemudiannya digabungkan dengan institusi pengajian. Perpustakaan ini dibuka kepada orang ramai. Sarjana Eropah yang menyelidiki perpustakaan Arab dalam zaman Abasiah, mengatakan pusat perpustakaan Islam dalam zaman itu terdapat di Shiraz, Kordova dan Kaherah. Perpustakaan itu mengandungi galeri besar yang dipenuhi dengan rak-rak buku, dan disediakan bilik bacaan untuk pengunjung. Di dalamnya juga terdapat bengkel untuk menyalin buku, dan dewan khas untuk perbincangan. Dalam beberapa perpustakaan lain ada pula dewan untuk menikmati muzik. Bilik dan dewannya dihias rapi, berpermaidani, tingkap dan pintunya diberi tirai supaya udara sejuk tidak masuk. Pengunjung boleh duduk bersila untuk membaca dan menulis. Di Shiraz pula buku-buku di simpan di bilik-bilik sepanjang dinding perpustakaan itu dikatalogkan menurut bidangnya. Ada tiga jenis perpustakaan pada zaman Islam, iaitu; perpustakaan awam, separa awam dan persendirian. Perpustakaan awam dibina untuk sekolah, universiti dan masjid. Ia dibuka kepada orang ramai. Perpustakaan separa awam dibuka kepada kumpulan tertentu. Perpustakaan persendirian pula adalah kepunyaan persendirian dan digunakan secara peribadi, melainkan dibuka kepada orang awam. Ada banyak perpustakaan di dunia Islam, sebahagian daripadanya adalah seperti berikut.

1. Perpustakaan Di Iraq: Pada puncak kejayaannya, sebelum dimusnahkan oleh Hulaqu Khan, Baghdad mempuyai 36 perpustakaan. Di antaranya ialah: a. Perpustakaan Umar al-Waqidi (736-811), 120 muatan unta; b. Perpustakaan Baitul Hikmah, dibina oleh al-Ma’mun 318; c. Darul-Ilmu, dibina oleh Ardeshir, 991; d. Perpsutakaan Kolej Nizamiyah, dibina oleh Nizamiyah 1064; e. Perpustakaan Sekolah Mustansiriyyah,1233; f. Perpustakaan al-Baiqani,1033; g. Perpustakaan Muhammad Ibnu al-Hussain, di Haditha; dan h. Perpustakaan Ibnu al-Kami.

2. Perpustakaan Di Farsi: Farsi banyak menghasilkan sarjana Islam. Sebelum itupun, Farsi sudah terkenal dengan tradisi ilmunya. Ini tergambar daripada jumlah perpustakaan yang terdapat di negara itu. Antara yang terkenal ialah: a. Perpustakaan Ibnu Abbad, (400 muatan unta); b. Perpustakaan Ibnu Amid, 971, (100 muatan unta); c. Perpustakaan Ibnu Hamdan, di Mosul, 935, mengandungi pelbagai ilmu; d. Perpustakaan Adud al-Dawlah, 983, di Basrah, dan cawangannya di Shiraz. banyak mengandungi buku sains dan perubatan. Semasa Farsi dilanggar oleh tentera Mongol, dikatakan ada 10 lagi perpustakaan di Farsi, terletak di kawasan kolej dan masjid.

3. Perpustakaan Di Afrika Utara: Di Kaherah, terdapat beberapa buah perpustakaan besar, empat daripadanya disenaraikan di bawah: a. Bait al-Hikmah, dibina oleh Kalifah al-Aziz, 988, mengandungi lebih 100,000 buku, (mungkin 600,000), mengenai perundangan, nahu, retorik, sejarah, biografi, astronomi, kimia; b. Perpustakaan al-Fadhil, bukunya dimusnahkan oleh tentera Turki sekitar 1068, dan mengambil masa 100 tahun untuk mengumpulkan jumlah buku yang sama semula. Sultan Saladin menderma lagi 120,000 buku yang ditemuinya di istananya pada tahun 1171; c. Perpustakaan Ben Fatik; dan d. Perpustakaan al-Maarrif, mengandungi pelbagai buku ilmu.

4. Perpustakaan di Sepanyol: Kordova ialah ibu empayar Islam di barat. Ia merupakan sebuah bandaraya besar yang aktif dengan aktiviti keilmuwan. Terdapat lebih daripada 70 perpustakaan di Sepanyol dan Itali. Sarjana Eropah datang ke situ untuk menimba ilmu. Mereka juga datang untuk membeli buku, kerana Kordova mempunyai pasaran buku yang besar. Antara perpustakaan yang terkenal di Kordova ialah: a. Perpustakaan al-Hakim, 976, mengandungi 600,000 buku; b. Perpustakaan Abu al-Mutrif, koleksinya dijual sebanyak 40,000 dinar semasa dia meninggal pada 1011.

5. Perpustakaan Yahud: Ada beberapa perpustakaan sarjana Yahudi yang memberi sumbangan besar kepada kesarjanaan Islam. Antaranya: a. Perpustakaan Yaqub ben Yusuf ben Killis, 979, di Kaherah, digunakan oleh sarjana Islam; b. Perpustakaan tabib Ephraim, mengandungi banyak buku perubatan; c. Perpustakaan Afdad; d. Perpustakaan Abraham ben Hillel, mengandungi buku karya Maimonides, Galen, Hippocrates, dan Ibnu Rush; e. Perpustakaan tabib Leo Mosconi dari Majorea, awal abad ke-14, mempunyai koleksi buku Ibnu Sina, Ibnu Rush, dan juga karya sarjana Yunani dan Yahudi mengenai astronomi, anatomi, meteorologi, perubatan, fizik, muzik, logik, etik, dan nahu; dan f. Perpustakaan tabib David d’Estella dari Perancis, akhir abad ke-14, mempunyai koleksi karya mengenai Aristotle, Galen, Ibnu Rush, dan Maimonides.

Skriptorium Dan Industri Perbukuan
Pada zaman kegemilangan intelektual Islam, terdapat banyak institusi yang terlibat dengan penerbitan buku-buku ilmu. Di Baghdad saja, ada lebih daripada 100 orang terlibat dalam industri penerbitan, iaitu menulis, menyalin, menjilid, menjual, dan membeli buku. Kordova, menjadi pasaran terbesar buku ilmu di bahagian Barat empayar Islam. Industri perbukuan berjalan dengan aktif menyokong aktiviti intelektual. Pemimpin Islam membina skriptorium atau bengkel penulisan di setiap perpustakaan. Mereka menggajikan sarjana untuk menulis dan menyalin buku. Mereka diberi gaji lumayan, pakaian, dan tempat tinggal yang selesa. Mereka diberi kemudahan kertas, dakwat, botol dakwat, dan pena dengan percuma. Pada zaman kertas diimport dari Cina dengan harga yang tinggi, ia merupakan kemudahan yang besar, mungkin lebih mahal nilainya apabila dibandingkan dengan harga sebuah komputer pada hari ini. Skriptorium ini menjadi sebahagian daripada setiap perpustakaan, sama ada kepunyaan awam atau peribadi. Di perpustakaan al-Hakim terdapat bengkel perbukuan untuk menyalin dan menjilid buku. Di perpustakaan Yaqub terdapat orang yang ditugaskan khas untuk menyalin dan menjilid buku-buku. Begitulah juga dengan perpustakaan lain di Kordova, Kaherah, Basrah, Damsyik, dll. Usaha yang dijalankan di dalam skriptorium inilah yang menjadi nadi penggerak industri penerbitan buku. Walaupun tidak ada satu badan khas yang diberi tugas menjaga dan menentukan aliran perkembangan industri penerbitan buku, buku ilmu diterbitkan dengan banyaknya. Pada masa itu buku mahal harganya. Ia memerlukan penaung dan pembiaya yang kaya. Sekiranya tidak, ilmu tidak akan dapat dibukukan. Fungsi itu dipegang oleh raja, kalifah, hartawan, dan ilmuwan. Mereka membina skriptorium. Skriptorium itu menjadi syraikat penerbit. Ia menerbitkan manuskrip bertulis tangan.

Peranan Penterjemah Mengimport Ilmu
Pada peringkat awal pemerintahan Islam, perhatian terhadap ilmu tidak begitu rapi. Ada kenyataan yang dibuat oleh sarjana Eropah bahawa panglima tentera Islam seperti Amru Ibnu As dan Ibnu Waqqas memusnahkan buku-buku yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam. Tetapi, apabila kalifah Abasiah menggantikan Umaiyah, pemerintahan Islam berubah kepada pemimpin bukan Arab dan pusat pentadbiran berpindah ke Baghdad. Di bawah kalifah Abasiah, dengan tradisi ilmunya, perkembangan ilmu menjadi lebih pesat. Zaman kegemilangan ilmu sains dalam Islam berlaku antara 750M hingga 1350M. Pada masa itu Eropah masih berada dalam zaman kegelapan, dan Eropah hanya bangun dan memulakan zaman pembaharuan antara 1400M hingga 1600M.
Sarjana-sarjana Islam mengizinkan ilmuwan Kristian Siria, Koptik, Nestorian; ilmuwan Yahudi; dan ilmuwan Zoroastrian di Farsi, yang sedia wujud di daerah yang baru ditaklukinya meneruskan aktiviti intelektualnya. Mereka tidak dipaksa mengubah agama mereka. Sarjana-sarjana ini memang telah banyak menerima ilmu dari Yunani. Peranan pemimpin Islam pada masa itu ialah menggalakkan lagi aktiviti intelektual ini. Mereka turut menggiatkan aktiviti mengimport ilmu-ilmu terkini yang diciptakan oleh bangsa-bangsa lain sebelum mereka. Ini mereka lakukan melalui aktiviti terjemahan, kemudian mereka mengembangkan lagi ilmu-ilmu itu. Pada akhir pemerintahan kalifah Umaiyah, bahasa Arab telah mengandungi banyak ilmu yang mereka terjemahkan. Ini termasuklah falsafah, perubatan, matematik dan teknologi dari tradisi Yunani; matematik, perubatan dan kesusasteraan dari India; dan sains, kesusasteraan dan agama dari Farsi. Sarjana Islam juga memperkembang ilmu yang mereka import itu dengan membuat ulasan-ulasan terhadap sains dan falsafah Yunani oleh sarjana-sarjana Siria.
Ada beberapa orang kalifah Abasiah di Baghdad yang terlibat secara langsung di dalam memajukan usaha menterjemah buku ilmu dan sastera dari Yunani, Farsi dan India. Mereka berusaha supaya bahan ilmu yang diperlukan untuk penyelidikan falsafah dan sains terdapat dalam bahasa Arab untuk ilmuwan berbahasa Arab. Usaha menterjemah ini berjalan dalam dua tahap. Pada tahap pertama, usaha menterjemah hanya dijalankan secara bebas oleh sarjana Kristian, Yahudi, dan mereka yang baru memeluk Islam. Pada tahap kedua, usaha ini dijalankan secara formal dan teratur. Kalifah Jaafar al-Mansur (754-775M), memulakan usaha ini dengan menjemput George Bakh Tishu, seorang tabib Kristian Nestorian, dari Jundi Shahpur di Farsi untuk datang ke Baghdad menjadi tabibnya. Ini diikuti oleh tabib-tabib lain. Malah anaknya juga kemudian menjadi tabib kalifah Harun al Rashid (786-809M). Usaha menterjemah di bawah al-Mansur dan Harun al-Rashid, menjadi berlipat ganda di bawah kalifah al-Makmun (813-833M).
Di Jundi Shahpur, tradisi perubatannya adalah gabungan antara perubatan Yunani dan India. Inilah yang menjadi asas kepada pembinaan ilmu perubatan Arab Islam. Setelah adanya asas ilmu perubatan ini barulah timbul sarjana perubatan Islam. Yang pertama ialah al-Razi (923M). Kemudian, timbul pula Ibnu Sina yang menghasilkan penyelidikan mengenai cacar dan taun. Ibnu al-Baitar membina kepakaran dalam farmaseutiks, dan Ibu Haitham dalam kajioptik.
Di bawah pemerintahan kalifah al-Makmun dan kalifah-kalifah selepasnya, usaha terjemahan dijalankan melalui sebuah akademi yang ditubuhkan di Baghdad, iaitu Baitul Hikmah. Selepas itu, aktiviti menterjemah ilmu ini berjalan lancar untuk membolehkan ilmu itu sampai kepada ilmuwan Islam berbahasa Arab.
Dalam perkembangan ilmu ini kita dapat melihat sumbangan signifikan terjemahan sebagai asas pembinaan ilmu. Setelah asas ilmu diterjemahkan, maka barulah tradisi ilmu itu berkembang dalam bahasa Arab dan menghasilkan bahan ilmu sendiri. Mula-mula mereka meniru dan menyerap ilmu dari luar, setelah itu mereka menjana ilmu sendiri secara kreatif. Proses menjana ilmu berkembang daripada budaya ilmu yang diimport.

Sarjana Islam Menjana Ilmu Secara Kreatif
Para ilmuwan Islam menggunakan ilmu-ilmu yang diterjemahkan dari Yunani, Farsi dan India untuk tujuan-tujuan praktikal. Amalan ini dengan sendirinya memerlukan mereka menjadi kreatif dan inovatif untuk menerap ilmu tersebut bagi menyelesaikan masalah-masalah praktikal dalam kehidupan mereka. Usaha itu menyebabkan mereka mencipta kaedah-kaedah penyelidikan yang bersifat empirikal dan eksperimental. Sebelumnya, sarjana-sarjana lain berusaha mengembangkan ilmu semata-mata untuk mengembangkan lagi ilmu pengetahuan. Ilmuwan Islamlah yang mula-mula menjadikan manusia sebagai matlamat ilmu pengetahuan. Dengan demikian, ilmuwan Islam perlu menggabungkan tradisi ilmu Yunani yang bersifat spekulatif itu dengan aktiviti eksperimental dan empirikal yang mereka cipta. Dalam menjalankan eksperimen, para ilmuwan Islam membebaskan diri daripada kongkongan dogma dan kepercayaan. Ini berlainan dengan apa yang diamalkan di Eropah di mana intektualnya berfikir untuk membuktikan ajaran-ajaran dan dogma-dogma waktu itu adalah benar.
Para ilmuwan Islam juga memasuki setiap bidang ilmu untuk mencari pengetahuan. Mereka mengembangkan ilmu-ilmu yang ada dan mencipta cabang-cabang ilmu baru yang belum ada sebelumnya. Mereka bergiat dalam bidang-bidang filologi, sejarah, historigrafi, undang-undang, sosiologi, kesusasteraan, etika, falsafah, teologi, perubatan, matematik, logik, seni, astronomi, botani, fizik, senibina, seramik dan macam-macam lagi.
Tradisi membuat penyelidikan yang penuh kesabaran adalah ciptaan ahli-ahli sains Islam. Mereka mencipta teknik-teknik penyelidikan secara teliti dan lama. Mereka merakamkan hasil-hasil pemerhatian daripada ujikaji yang mereka lakukan. Mereka mengembara untuk mengumpulkan data yang besar supaya dapat dilakukan kerja-kerja klasifikasi dan kategorisasi.
Ahli-ahli sains Islam adalah pencipta kaedah penyelidikan sains dengan menggunakan pengamatan dan ujikaji, suatu kaedah yang tidak pernah diketahui sebelumnya. Mereka mencipta kaedah eksperimen objektif kerana mahu memperbaiki teknik-teknik spekulatif Yunani yang tidak tepat.
Di bawah pemerintahan al-Makmun dan al-Mansur, pusat ilmu berpindah dari Bizantin ke Baghdad. Ilmuwan berkembang di Baghdad, ramai ahli matematik dan astronomi menjalankan kajian. Pusat pemerhatian astronomi dibina di Baghdad dan Jundi Shahpur. Kajian astronomi menggalakkan perkembangan ilmu aritmatik dan algebra. Dari golongan inilah munculnya Naubakht (astronomi), Hussain al-Sufi (menghasilkan kajian agung astronomi), Omar Khayyam (sains Islam, matematik), Habash al-hasib (jam suria), al-Farghani (mengira diameter bumi, dan jarak serta saiz bintang-bintang), al-Din al-Tusi (menyusun jadual Zij, kalendar), al-Muzaffar al-Tusi (inventor astrolabe - penggukur altitud), al-Din Shirazi (geometri optik), Banu Musa (matematiks), Ibnu Mashar (mathematiks), al-Biruni (mengukur latitud dan longitud), Abu al-Wafa (matematik-astronomi), Fakhrudin al-Razi (ensikolpedia sains), al-Khazim (graviti, berat aloi dan densiti air), Kamal al-Din (mengkaji lintasan cahaya melalui gelas), dan al-Khwaizmi (matematiks).
Dalam bidang perubatan pula, kita melihat asas ilmu yang dibina atas gabungan ilmu dari Yunani, India dan Farsi menimbulkan suasana yang mencetuskan ilmu baru. Pakar perubatan yang banyak menulis ialah al-Razi keturunan Farsi dan tinggal di Baghdad. Dia mempelajari ketiga-tiga sumber ilmu perubatan itu dari Ibnu Ishaq, dan menghasilkan lebih 200 karya. Hampir separuh daripadanya mengenai perubatan. Karyanya mengenai perubatan meliputi bidang sistem saraf yang diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain. Dia juga menulis mengenai falsafah, teologi, matematiks, astronomi, dan sains. Tradisi perubatan al-Razi disambung oleh seorang tabib lain keturunan Farsi, Ibnu Sina, yang juga seorang ahli falsafah. Ibnu Sina menyambung usaha Hippocrates dan Galen, dua orang pakar perubatan Yunani. Karya Kanun Perubatan merupakan sebuah ensiklopedia ilmu perubatan, diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah. Di samping itu dia menghasilkan lebih 100 risalah falsafah dan matematiks. Haly Abas (995M) mengarang buku Seni Perubatan Lengkap yang merupakan sebuah ensiklopedia perubatan. Muwaffa Ibnu Mansur (975M) pula menulis Asas dan Sifat Sebenar Penawar mengandungi huraian 585 drug.
Pemerintahan Islam yang luas menemukan mereka dengan beberapa daerah baru. Ini memerlukan huraian geografi, iklim, ekonomi, sejarah, dan sosiologi. Asas ilmu geografi dari Ptolemy diperkembang, dengan pengumpulan data baru. Lagi, ilmuwan Farsi banyak menguasai bidang itu. Al-Balkhi (934M) menulis banyak buku, termasuk geografi yang menjadi asas pengajian geografi selepasnya. Al-Hamdani menghuraikan geografi semenanjung Arab, al-Biruni menghuraikan geografi India, Nasiri dari Khurasan menulis tentang pengamatannya semasa mengembara ke Mesir dan Makkah, dan Yaqut dan Qazwini menyusun kamus mengenai nama-nama geografi dan biografi.
Semasa ilmuwan Islam mengkaji sains, ilmu lain juga berkembang. Sumbangan Ibnu Khaldun, al-Qadir Jilani, al-Ghazali, al-Batalyusi dll. adalah banyak dalam kepustakaan Islam dalam bahasa Arab.
O’Leary (1966) dan Nakosteen (1964) menyenaraikan sumbangan penterjemah dalam segala bidang ilmu ini. Senarainya panjang dan mengkagumkan. Ia juga membolehkan kita memahami bagaimana sarjana Islam menjadi begitu maju setelah banyak ilmu diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Ia menjadi asas pembinaan ilmu sarjana Islam itu sendiri.
Beberapa ciri penting dalam perkembangan ilmu Islam ini dapat kita lihat. Pertama, ia berkembang daripada asas ilmu yang dibawa masuk melalui terjemahan. Daripada meniru ilmuwan Islam belajar mencipta. Ini adalah satu tahap penting dalam pembinaan ilmu. Kepustakaan Melayu juga perlu diisi dulu dengan ilmu yang diimport dari bahasa lain. Sebarang tindakan yang menghalang pengimportan ilmu ini akan juga membantutkan perkembangan ilmu dalam bahasa Melayu. Kedua, ahli ilmuwan Islam itu sangat luas cakupan bidang keahliannya. Mereka tidak menjurus kepada satu bidang saja. Ibnu Sina juga adalah seorang falsafah dan ahli matematik. Bahkan, Ibnu Sina juga seorang pemuzik dan menulis risalah tentang muzik. Ilmu yang dibina oleh sarjana Islam itu heterogeus atau pelbagai sifatnya, bukan homogenus atau semacam saja. Ketiga, mereka mempunyai obsesi mencari ilmu. Obsesi ini penting, tanpa obsesi sesuatu usaha tidak akan tamat. Keempat, mereka menuliskan ilmu mereka. Tanpa ilmu yang tertulis, tidak ada peradaban. Inilah ciri-citi yang akan kita terap ke dalam usaha kita membina kepustakaan dalam bahasa Melayu, demi menyerlahkan lagi peradaban Melayu.

Keruntuhan Kesarjanaan Islam
Pada akhir kurun ke-13 keagungan ilmu Islam ini berakhir. Ia tidak melahirkan peradaban yang lebih tinggi. Ada beberapa sebabnya. Ini perlu kita pelajari supaya peradaban yang kita bina dalam bahasa Melayu ini dapat mengelakkan kesilapan yang sama. Tentera Tartar di bawah pimpinan Hulaqu Khan, cucu Ghengis Khan, menakluki kota Baghdad pada 1258. Bangsa Tartar yang belum mengenal tamadun tinggi itu tidak tahu memuliakan ilmu. Mereka membakar beratus-ratus perpustakaan di Baghdad, termasuk Baitul-Hikmah. Nasib yang serupa dialami oleh semua perpustakaan di seluruh dunia Islam, dari Samarkand, ke Bukhara, dari Baghdad ke Kordova perpustakaan Islam dibakar jadi abu (Raja-raja Kristian menakluki dan memusnahkan Kordova pada tahun 1492).
Ironisnya, ahli sains Islam berjaya mencipta kaedah-kaedah dan teknik-teknik berfikir untuk menemui pelbagai ilmu pengetahuan sains, tetapi mereka tidak mencipta kaedah-kaedah dan teknik-teknik berfikir untuk memanipulasi pengetahuan dan maklumat sains menjadi teknologi. Teknologi ialah alat-alat dan teknik-teknik yang berfungsi untuk mengembangkan keupayaan manusia. Mereka tidak menggunakan ilmu mereka misalnya untuk mencipta alat dan teknik perang baru. Tentera Islam terus menggunakan senjata tradisional, pedang dan anak panah. Dalam peperangan yang menggunakan teknologi lama, mereka tidak sehandal tentera Tartar dan Kristian.
Dalam membina peradaban kita, kepustakaan adalah asasnya. Ahli-ahli sejarah Barat pernah mengatakan zaman kegemilangan sains orang Islam tidak akan timbul semula. Sebabnya ialah setelah perpustakaan-perpustakaan Islam musnah, orang-orang Islam tidak membina semula perpustakaan mereka. Mereka lupa kepustakaan ialah asas pembinaan mana-mana peradaban. Tanpa kepustakaan milik sendiri, tidak ada bangsa
Amalan ini dapat menjadi pengajaran yang dapat kita tiru dalam usaha kita membina kepustakaan dalam bahasa Melayu. Cuma bentuk skriptorium yang diperlukan akan berlainan bentuk dan prosesnya, tetapi fungsinya sama, iaitu menggalakkan industri penerbitan. Ia boleh mengambil bentuk lembaga atau badan yang ditugaskan untuk menjalankan fungsi ini. Produknya juga boleh berbentuk buku biasa atau dalam media lain seperti dalam bentuk elektronik yang dapat mendirikan peradabannya sendiri.

Sejarah Pembinaan Ilmu Pada Zaman Moden
Industri ilmu atau perbukuan di Taiwan, Jepun dan Korea adalah industri besar. Apa yang kita pelajari daripada industri ilmu, khususnya industri terjemahan di Taiwan, Jepun dan Korea, ialah kita dapat membuat beberapa kesimpulan yang dapat dijadikan contoh. Taiwan merupakan satu contoh baik, bagaimana industri terjemahan dapat berkembang maju. Negara ini hampir sama besar dengan negara kita Malaysia. Ini bermakna industri terjemahan dapat berkembang maju dengan ditampung oleh jumlah rakyat seramai 20 juta. Ada beberapa generalaisasi yang dapat dibuat dan dijadikan pandu arah usaha-usha menterejmah di negara ini.
Dasar bahasa negara-negara ini “menggunakan bahasa peribumi sebagai bahasa pendidikan.” Dasar tersebut jelas dapat memandaikan rakyatnya, dan betapa rakyat yang berilmu tersebut menuntut supaya ilmu dibawa masuk ke dalam bahasanya. Tuntutan ini menimbulkan sebuah industri ilmu yang besar. Industri perbukuan di Taiwan sahaja menerbitkan 38,000 judul buku setahun, 8,000 daripadanya terjemahan.
Yang lebih penting ialah Taiwan membina sebuah industri ilmu yang bernlai RM 3.8 bilion satu tahun. Betapa sebuah negara sebesar Taiwan dapat menggerakkan sebuah industri perbukuan yang besar dan membawa nama yang harum dan maruah yang tinggi bagi negara Taiwan. Industri perbukuan ini dapat menjana bukan sahaja pendapatan yang besar, tetapi juga bilangan pekerjaan yang banyak. Sekiranya sebuah syarikat dapat menjana 100 pekerjaan, dari juruatur halamannya, penyunting, penulis, pencetak dan lain-lain, maka bayangkan berapa pekerjaan dapat diwujudkan. Sekiranya Taiwan ada 1000 syarikat penerbitan, maka bilangan pekerjaan yang dapat diwujudkan berjumlah 100,000. Ini suatu industri besar dalam ekonomi negara.
Sebaliknya, dasar yang tidak memihak kepada bahasa kebangsaannya, membunuh industri ilmu dalam bahasa peribuminya. Kita sukar menduga apa yang akan berlaku tanpa melihat gambarannya. Sebagai contoh, Filipina membuat dasar yang menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris. Oleh sebab dasarnya demikian, maka ada dasar-dasar lain yang memberi keistimewaan kepada bahasa Inggeris. Penerbit dan pengimport buku Inggeris dikecualikan daripada membayar cukai kertas tetapi penerbit buku Tagalog dikenakan cukai. Akibatnya, industri buku Inggeris meningkat dan buku Tagalog hampir pupus. Yang hidup terpaksa menggunakan kertas rendah yang murah dan tendah kualiti.
Seterusnya, mereka merasakan apa perlunya menulis buku Inggeris apabila buku tersebut mudah sahaja diimport dari Amerika. Negara tersebut menjadi semakin bergantung kepada import buku dari Amerika. Dengan demikian mereka kehilangan sebuah industri yang besar nilainya. Sekurang-kurangnya sebesar nilai industri buku di Taiwan. Mungkin lebih besar sebab bilangan rakyatnya ialah 76 juta orang.
Apabila mereka mengimport pula buku dari Amerika, mereka kehilangan lagi dana dalam bentuk tukaran asing. Akibatnya mereka dua kali rugi. Jumlah industri yang hilang adalah jumlah nilai industri yang tidak dapat wujud kerana dasar yang memihak kepada bahasa Inggeris, ditambah dengan nilai buku yang diimport. Dibandingkan dengan Taiwan, Filipina bukan hilang RM 3.8 bilion setahun, tetapi ditambah dengan nilai import buku dari Amerika. Kiraan kasar mungkin dapat meletakkan kerugian itu pada RM 7.6 bilion setahun. Ini satu bencana besar dalam ekonomi negara seperti Filipina.
Inilah yang menjadi dasar perbincangan mengapa kita perlu mewujudkan dasar bahasa yang mengutamakan bahasa peribumi supaya dapat memandaikan semua rakyatnya, dan sekali gus mewujudkan industri ilmu yang bukan sekadar memberi kekayaan tetapi maruah kepada negara dan bangsa.

Industri Buku Taiwan
Cerita kejayaan industri buku di Taiwan sangat menarik. Taiwan adalah sebuah negara kecil yang dapat bertahan ketika badai ekonomi melanda Asia. Ini dapat dilihat dalam aktiviti industri perbukuannya. Pada Pameran Buku Antarabangsa Taipei yang Kesepuluh, diadakan pada bulan Februari tahun 2002, jualan bukunya menunjukkan prestasi yang menakjubkan. Seorang wartawan, Sally Taylor menulis sebuah rencana mengenai perkara ini dalam Publishers Weekly pada bulan Disember tahun 2001. Beliau memberitahu bahawa industri penerbitan buku Taiwan adalah cergas. Beliau juga meramalkan bahawa masa depan pasaran buku dalam bahasa China adalah cerah. Buktinya ialah, jualan bukunya kekal menggalakkan. Bahkan apa yang lebih menarik lagi ialah, aktiviti menterjemah juga meningkat. Ini terbukti dengan meningkatnya usaha membeli hakcipta buku bagi diterjemahkan ke dalam bahasa China.
Apakah yang sebenarnya menjadi senario industri perbukuan di Taiwan? Pada masa ini pasaran buku Taiwan bernilai RM 3.8 bilion setahun. Taiwan menerbitkan 38,000 tajuk buku baru dalam tahun 2000. Yang sangat ketara dan memeranjatkan kita ialah 8,000 daripada tajuk itu datang daripada buku asing yang diterjemahkan ke dalam bahasa China. Malah buku trejemahan mendapat tempat istimewa dalam kelompok buku yang terlaris. Sebilangan besar daripada 100 buku terlaris atau bestseller yang dijual di kedai-kedai buku besar di Taiwan, datangnya daripada karya trejemahan.
Apabila memperkatakan tentang betapa besarnya pasaran buku di Taiwan, kita mungkin merasa sedikit curiga, kerana Taiwan adalah sebuah negara kecil. Negara kecil ini mempunyai jumlah penduduk yang kecil juga, maka tentulah pasaran bukunya kecil juga. Namun, jumlah judul dan naskhah buku yang diterbitkan adalah besar. Hakikatnya ialah, walaupun Taiwan mempunyai 20 juta penduduk, tetapi bilangan penduduk 20 juta ini dapat menghidupkan industri perbukuan, iaitu industri yang berasaskan ilmu pengetahuan. Ini adalah disebabkan bilangan pembacanya ramai. Bukan itu sahaja, malah setiap pembaca di Taiwan berbelanja lebih daripada RM 450 setahun membeli buku.
Kesan positif daripada tabiat membaca inilah yang menimbulkan cerita-cerita kejayaan dalam bidang industri ilmu, khususnya penerbitan buku, yang juga melimpah ke bidang industri terjemahan. Memang sudah menjadi lumrah di Taiwan pada masa ini, bagi kedai buku menjual sebanyak 10,000 naskhah buku terjemahan yang baik setahun. Angka ini sudah meningkat tinggi, sebab pada masa lalu buku-buku terjemahan hanya dapat dijual sekitar 3,000 naskhah sahaja setahun.
Ciri-ciri dan perkembangan beginilah yang mendorong industri perbukuan umumnya, dan terjemahan khususnya berekembang pesat.
Di anatara syarikat penerbitan yang cepat berkembang ialah Cit&eacute. Bahagian buku rujukannya Owl, menjual buku yang diterbitkan oleh syarikat DK, Cambridge dan Larousse. 95% daripada buku ini adalah terjemahan dalam kategori bacaan umum untuk semua peringkat umur. Aktiviti perniagaan buku ini kian berkembang mencakupi buku sastera, seni, dan buku akademik. Di samping itu terdapat pula buku yang diterbitkan oleh Polo Press yang menerbitkan buku panduan untuk pelancong. Semua buku ini, iaitu 100% adalah terjemahan. Syarikat-syarikat ini amat optimistik dalam operasinya, dan terus berusaha mencari tajuk-tajuk buku yang sesuai dari Amerika supaya diterjemahkan.

Bagaimana ini berlaku?
Pengasas Commonwealth Publishing Company di Taiwan, Encik Charles Kau menjelaskan bagaimana kemajuan industri buku terjemahan ini dapat berlaku. Syarikat beliau mempunyai kedudukan yang kuat dalam industri menerbitkan buku-buku sederhana dalam bidang perniagaan dan politik.
Beliau berkata, menerbitkan buku di Taiwan sekarang adalah lebih terbuka dan menggalakkan berbanding dengan di tempat-tempat lain di Asia. Beliau memberitahu Pusblishers Weekly, bahawa itulah sebabnya syarikat penerbitan tumbuh maju di Taiwan. Buku tidak mahal dan kualitinya sangat baik. Buku setebal 200 halaman berkulit nipis hanya berharga sekitar RM 18.00 hingga RM 23.00 sahaja senaskhah.
Di samping itu, masyarakt China itu sendiri menggalakkan industri perbukuan berkembang. Sikap terbuka masyarakat China menerima buku juga membantu menggalakkan industri perbukuan.
Kedua, Encik Kau mengatakan bahawa mereka juga ada membuat tinjauan, dan, hasil analisis terhadap tabiat membeli buku dan membaca di kalangan rakyat Taiwan itu, memberi pedoman kepada syarikat mereka bagaimana membawa masuk idea-idea progresif dari Barat. Tajuk-tajuk buku terjemahan bagi bacaan berat juga laris dijual. Sebagai contoh antara buku-buku yang digemari oleh pembaca Taiwan ialah karya Peter Singer, Michael E. Porter, Peter Drucker dan George Soros. Dan dan juga yang membeli terjemahan buku Charles Handy, John Nesbitt and Steven Covey.
Seterusnya dalam industri terjemahan itu, syarikat-syarikat penerbit di Taiwan semakin terdorong dan membangun. Mereka juga sudah menjadi lebih canggih dalam memilih buku-buku dari Barat. Perkembangan ini menimbulkan persaingan di antara syaraikat-syaraikat penerbit. Ini menunjukkan gambaran ekonomi yang sedang giat membangun. Perkembangan pesat ini menimbulkan perang harga hak cipta, walaupun harga hakcipta meningkat dari tahun ke tahun, dan persaingan bertambah sengit.
Memang benar ada juga gambaran bahawa apa-apa sahaja produk Amerika laris dijual di Taiwan. Begitu juga kata Encik Richard Huang, Ketua Pegawai Ekzekutif syarikat Classic Communications. Syarikatnya menjual sejuta naskhah buku Scott Adams bertajuk “The Dilbert Principle.”

Isu Mutu Terjemahan dan Makna Budaya
Pun begitu, perniagaan buku-buku ini tidak selalunya laris sentiasa. Salah satu daripada buku yang gagal teruk ialah buku IDG, dalam siri Dummies. Apakah sebabnya ini berlaku? Terjemahannya buruk. Ini membuktikan pembelinya membaca. Apabila terjemahannya tidak baik, maka buku itu tidak laku.
Terjemahan yang baik memang dapat meningkatkan jualan. Apabila jualan buku siri Dummies itu tidak menjadi, sebuah penerbit lain mengambil alih siri Dummies tersebut. Buku itu diterjemahkannya semula dan diberi kulit baru. Kali ini buku itu laris pula jualannya. Ternyata terjemahan yang baik dapat menentukan kejayaan besar.
Begitu juga, apabila sebuah buku diterjemahkan ke dalam sebuah bahasa lain, bukan sekadar isi buku itu sahaja yang diterjemahkan. Mari kita kembali kepada siri buku Dummies tadi. Apakah yang dilakukan oleh syarikat Locus yang mengambil alih penerbitan semula buku itu? Tuan punya syarikat itu mempunyai idea kreatif. Syarikat penerbitnya telah mengkaji semula penerbitan siri buku Dummies tadi. Mereka membuat sebuah desain yang lain sama sekali. Saiz buku itu disesuaikan dengan selera pembaca Taiwan. Logo syarikatnya juga diubah. Kemudian, satu idea kretaifnya timbul lagi. Beliau menyedari bahawa makna perkataan ‘dummy’ dalam bahasa China itu juga berlainan.
Sekarang, syarikat Penerbit Locus memanggilnya “Siri Golongan Orang Bergeliga.” Encik How yang mempunyai syarikat Penerbit Locus berkata, dalam bahasa China ada dua makna ‘orang bergeliga.’ Pertama ialah orang yang betul-betul ‘bergeliga” dan kedua maknanya ‘Si Tolol.’ Pembeli China sangat sensitif terhadap bagaimana kita memanggil mereka, ‘Orang Bergeliga’ atau ‘Si Tolol.’

Buku Cerita Kanak-kanak
Dalam tahun 2000 dan 2001 terjemahan buku-buku Harry Potter menduduki puncak carta jualan buku di Taiwan. Sastera kanak-kanak, sama ada dari sumber China mahupun dari Barat memang sentiasa meraih jualan yang tinggi. Hakikatnya ialah 50 % daripada buku-buku biasa kanak-kanak adalah terjemahan.
Akibat perkembangan ini, syarikat penerbit di Taiwan dan orang ramai mula merasa bimbang terhadap pengaruh asing yang menular masuk ke dalam budayanya. Mereka mahu menggalakkan supaya budaya China itu sendiri dikembangkan, namun mereka semua bersependapat. Mereka agak pragmatis. Mereka berpendirian bahawa anak-anak mereka mestilah mendapat segala-gala yang terbaik dalam dunia ini.
Dengan pendirian demikianlah maka Encik Robert Lin, Presiden Children Publications Co. Ltd. yang menjalankan kerjasama dengan syarikat penerbit DK, Scholastic and Gallimard, bagi menerbitkan buku kanak-kanak. Beliau mengunjungi pameran terbesar buku kanak-kanak di Bologna setiap tahun. Bahkan, lebih lima puluh syarikat penerbit dari Taiwan berlumba-lumba setiap tahun pergi ke Bologna bagi mendapatkan hakcipta buku-buku cerita kanak-kanak bagi diterjemahkan ke dalam bahasa China.
Salah satu daripada syarikat yang menerbitkan buku kanak-kanak ini ialah penerbit Senseio Group. Syarikat ini menumpukan seluruh usahanya bagi menerbitkan buku kanak-kanak. Ini termasuk juga buku teks dan bahan rujukan. Syarikat ini mahu menggalakkan penulis dan ilustrator tempatan. Mereka juga mahu menggalakkan kanak-kanak dan keluarganya membaca bersama-sama.

Galakan Anugerah “Suria Kecil”
Ada sebuah anugerah iaitu “Anugerah Suria Kecil” yang diperkenalkan pada tahun 1996 oleh kerajaan Taiwan melalui Jabatan Maklumat Kerajaan. Anugerah ini diberi kepada bahan bacaan tambahan bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah. Ini menggalakkan industri buku kanak-kanak berkembang.

Industri Buku dan Terjemahan di Jepun
Walaupun Jepun sebuah negara maju yang mempunyai kepustakaan besar, namun jual beli hakcipta bagi menterjemah buku-buku asing terus kekal sebagai perniagaan besar di Jepun. Bilangan yang besar melibatkan hakcipta bagi terjemahan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Jepun. Cerita-cerita tentang kejayaan perniagaan hakcipta buku dalam industri terjemahan ini, dilaporkan oleh Herbert Lottman dalam Publishers Weekly pada 22 Julai tahun lalu.
Walaupun jualan bukunya menurun, tetapi apabila dilihat 10 buku terlaris di Jepun, separuh daripadanya adalah terjemahan. Sejak tahun 1997 sehingga tahun lalu, angka jualan buku jatuh. Jualan buku-buku baru di kedai-kedai buku jatuh daripada 10,277 tajuk kepada 8,741 tajuk. Bilangan naskhah terjual juga jatuh daripada 875.9 juta naskhah kepada 748.7 juta naskhah.
Namun begitu penerbit Jepun menerbitkan 70,000 judul dalam tahun niaga yang berlalu. Hasilnya tidaklah seperti yang dihasratkan. Namun demikian Yayasan Buku Jepun iaitu Japan Book News, melaporkan bahawa jualan buku terlaris bagi tahun yang bermula dengan bulan Disember 2000 hingga bulan November 2001 ialah Who Moved My Cheese? oleh Spencer Johnson, dan tiga tempat berikutnya diduduki oleh tiga tajuk pertama buku Harry Potter.
Seperti di Taiwan juga industri terjemahan meningkat di Jepun, walaupun jualan buku keseluruhannya jatuh.

Industri Buku dan terjemahan di Korea
Di Korea perkembangan syarikat penerbitan yang menerbitan buku karya asli dan juga terjemahan semakin menonjol. Sally Taylor menulis dalam Publishers Weekly mengenai penerbitan di Korea. Sejak lima tahun lalu, Korea mula mengiktiraf dan mematuhi peraturan hakcipta antarabangsa. Sekarang Korea menghnatar pasukan yang besar pergi ke Bologna setiap tahun bagi membeli hakcipta buku bagi yang akan diterjemah dan diterbitkan.
Syarikat penerbit Thinking Tree mengambil masa selama tiga tahun sahaja bagi melonjak naik masuk ke golongan lima syarikat penerbit terbesar di Korea. Pengurus hakciptanya Hegene Kim menyatakan bahawa kejayaan mereka tercapai kerana hubungan media yang baik dan juga terjemahan yang baik. Malah Hegene Kim tertarik masuk bekerja dengan Thinking Tree kerana peningkatan terjemahan karya akademik yang lebih serius.
Buku bestsellernya yang pertama ialah buku Anthony Giddons bertajuk The Third Way. Malah ini adalah bukunya yang ketiga sahaja. Syarikat ini juga menterjemah dan menerbitkan buku George Stephanapoulos bertajuk All Too Human, buku Lester Thurow bertajuk Building Wealth, buku David Bodanis bertajuk E=MC2, buku Dava Sobel bertajuk Galileo's Daughter, dan berikutnya buku Dava Sobel yang bertajuk Longitude.
Syarikat Thinking Tree berbangga kerana mempunyai nama baik dalam penerbitan. Seperti syarikat penerbitan lain, jualan buku dalam taliannya. Thinking Tree mempunyai 64 buku tempatan dan 52 buku asing, semuanya dapat dibeli dalam bentuk buku elektronik. Malah Thinking Tree hanya satu daripada 200 penerbit yang menjual bukunya melalui Booktopia.com. Lazimnya, mereka akan membiarkan pelanggan memuat turun 10 halaman bukunya bagi melihat sama ada mereka mahu membeli buku itu atau tidak. Kalau suka mereka boleh memuat turun seluruh buku dengan bayaran.
Sekali lagi kita dapat melihat bahawa penjualan buku terjemahan mencakupi jumlah perniagaan yang besar di Korea.

Membina Kepustakaan Berbahasa Melayu
Daripada peristiwa-peristiwa sejarah yang dilalui oleh rakyat Jerman dan Orang-Orang Islam, kita boleh mengambil iktibar untuk membina kepustakaan dalam bahasa Melayu. Untuk kepentingan kertas ini, makna istilah kepustakaan sengaja dijadikan luas, iaitu sebarang hal yang menyangkut pembinaan ilmu; bahasa yang terlibat, pemimpin, ilmuwan, suasana, perpustakaan, penerbitan, dasar, sikap, kewangan, teknologi yang digunakan, dll. Oleh sebab itu, sebarang usaha untuk membina kepustakaan berbahasa Melayu akan melibatkan semua perkara ini.
Daripada pengalaman sejarah kebangkitan bangsa Jerman, kita dapati peranan bahasa peribumi itu penting. Ia meruntuhkan tembok bahasa yang menghalang pendemokrasian pendidikan di kalangan rakyat. Bahawa, penggunaan bahasa asing itu sebenarnya membelenggu minda peminjamnya menjadi tertawan. Minda tertawan itu akan terus meminjam idea dan barangan daripada bahasa pinjaman itu. Ia tidak membebaskan peminjamnya untuk menjana idea kreatif bagi menyelesaikan masalahnya sendiri. Negara yang meminjam bahasa asing terbukti tidak dapat maju, manakala negara yang menggunakan bahasa sendiri lebih banyak yang mencapai kejayaan. Untuk maju kita memerlukan kepustakaan. Kepustakaan itu perlu dibina dalam bahasa sendiri.
Daripada pengalaman sejarah orang-orang Islam, kita melihat bagaimana pemimpin, ilmuwan, perpustakaan, skriptorium, sekolah, universiti dan sisitem pemerintahan danmasyarakat membantu menggalakkan pembinaan ilmu. Di samping itu, obsesi terhadap ilmu, menterjemah ilmu, mempelajari ilmu, mengkaji ilmu, menyelidik ilmu, menuliskan ilmu, telah menjadikan pusat pemerintahan Islam juga sebagai pusat ilmu.
Pengalaman daripada dua perkembangan sejarah ini dapat membantu kita mengenalpasti perkara-perkara, dan langkah-langkah, serta tumpuan yang boleh kita berikan untuk membina kepustakaan Melayu.

Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pentadbiran dan Pendidikan
Bahasa pengantar ilmu yang paling berkesan ialah bahasa peribumi. Pengalaman dalam pemerintahan Islam menunjukkan bahawa apabila bahasa Arab digunakan sebagai bahasa pentadbiran, ia berkembang menjadi bahasa wahana ilmu juga. Di Jerman pula, ia bukan sekadar berkembang menjadi bahasa pengucapan intelektual dan berjaya mendemokrasikan pendidikan, tetapi mengembalikan maruah bangsa Jerman.
Bahasa Melayu sudah berjaya menjalankan fungsi ini. Fungsi ini bolehlah ditingkatkan lagi. Pentadbiran kerajaan akan terus menggunakan bahasa Melayu. Dalam pada itu fungsi ini juga perlu diperluas ke sektor swasta yang belum menggunakan bahasa melayu. Pendidikan rendah dan menengah telah menggunakan bahasa Melayu dengan berkesan. Unversiti akan terus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sebarang universiti baru, awam atau swasta akan menggunakan bahasa Melayu.
Sebarang tindakan untuk mengubah fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pentabdiran dan pendidikan tidaklah boleh diterima. Arahan untuk menggunakan bahasa Inggeris tidaklah bijak. Ia akan mengembalikan dwibahasa di Malaysia. Ia akan memisahkan rakyat kepada dua, yang berbahasa Inggeris dan yang berbahasa Melayu, dan juga akan membelah rakyat menurut yang berpendidikan dan yang tidak, yang kaya dan yang miskin, dan yang berminda peribumi dan yang berminda asing. Ini akan menggugat kestabilan ekonomi negara. Negara yang mempunyai ramai rakyat yang tidak berpendidikan tidak dapat membangun. Perpaduan rakyat juga akan tergugat.

Mengimport Ilmu Melalui Terjemahan Dan Adaptasi
Pengalaman menterjemah ilmu daripada bahasa Yunani dan Farsi telah memberi sarjana Islam asas yang kukuh untuk membina ilmu pengetahuan. Kemudian, ilmu pengetahuan sarjana Islam ini diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, Perancis, Inggeris, untuk menjadi asas pembinaan ilmu di Eropah. Ilmu terjemahan itu merupakan tahap pertama yang mesti dilalui untuk membolehkan kita menyaingi koleksi ilmu yang ada pada bangsa maju. Hasrat untuk mempelajari ilmu dengan mempelajari bahasa asing, mempunyai masalah yang tidak akan dapat diatasi. Apabila kita percaya bahawa kita akan dapat mempelajari semua ilmu dalam bahasa Inggeris dengan mempelajari bahasa Inggeris, maka kita harus meneliti kenyataan itu. Ada benar dan ada tidak benarnya. Memang benar mereka yang berbahasa Inggeris akan dapat menguasai ilmu dalam bahasa Inggeris itu. Tetapi, risikonya adalah lebih besar daripada itu. Tidak ada negara yang berhasil mengajarkan bahasa asing itu kepada semua rakyatnya. Hanya segolongan kecil saja yang berjaya mempelajari bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, golongan besar rakyat tidak akan mendapat ilmu. Di samping itu, mereka yang berbahasa asing itu akan tertawan mindanya, dan akan melakukan tindakan yang merugikan dan bertentangan dengan kepentingan bangsa dan negaranya.
Jalan keluar yang ternyata menguntungkan semua rakyat ialah, ilmu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, sama seperti yang dilakukan oleh negara-negara maju bukan Inggeris yang lain. Usaha menterjemah ini perlu dirancang supaya semua bidang penting ilmu dapat diliputi. Dalam usaha ini, bilangan pelajar yang memerlukan ilmu tidak menjadi ukuran. Biar hanya ada satu orang pelajar dalam bidang ilmu itu, demi kepentingan negara uasaha penterjemahan bahan belajar yang diperlukannya mestilah diusahakan. Penterjemahan buku-buku ilmu sering tidak membawa keuntungan kepada penerbit. Bahan terjemahan demikian hendaklah menjadi tanggungan kerajaan.

Membina Pelbagai Ilmu
Apabila kita membina ilmu, ilmu itu mesti pelbagai, mesti heterogenus. Tidak ada gunanya ramai ahli sains kita bertumpu dalam bidang yang sama. Tidak ada faedahnya ilmu kita terbina dalam beberapa bidang saja. Biar jumlah ahli sains kita tidak ramai, tetapi mencakupi pelbagai bidang. Orang Yahudi mungkin tidak ramai, tetapi mereka mempunyai kepustakaan dan ahli hampir dalam semua bidang, melainkan arkitektur dan seni lukis. Seramai-ramai ahli sains India, tidak mempunyai kepelbagaian kepustakaan dan ahli sains seperti yahudi. Sebagai contoh, penumpuan kepada bidang sastera kreatif dalam pembangunan bahasa kita telah menghasilkan banyak karya besar di dalam bidang sastera, ramai menjadi sasterawan, ramai memenangi hadiah sastera, dan banyak pertubuhan sastera. Ini bagus untuk sastera. Tetapi ia tidak membangunkan kepustakaan Melayu dalam bidang-bidang lain. Tumpuan seperti itu diperlukan juga untuk setiap bidang ilmu.
Mengasingkan pelajar dari awal lagi, seawal PMR, mungkin satu cara untuk memperbanyak ahli sains kita. Tetapi, risikonya juga ada. Kaedah ini akan menutup peluang perkembangan minat dan kebolehan pelajar yang tidak dimasukkan ke jurusan sains untuk menjadi saintis. Ada konsep-konsep sains yang akan hanya mudah dipelajari oleh pelajar apabila lebih dewasa. Mungkin memberi pelajar peluang belajar matapelajaran yang sama pada peringkat rendah akan memberi kita lebih besar peluang untuk mendapatkan pelajar yang akan memberi tumpuan kepada sains. Daripada sarjana Islam, kita dapat melihat bahawa setiap sarjana menguasai pelbagai ilmu. Ilmuwan tidak perlu mengkaji bidang yang sempit saja.

Lembaga Perbukuan Negara
Ada banyak badan yang telah dibentuk oleh kerajaan untuk menangani usaha penerbitan ilmu dalam bentuk buku. Yang tertua ialah Dewan Bahasa dan Pustaka. Yang terbaru ialah Institut Terjemahan Negara Malaysia. Dalam pada itu ada Majlis Buku Negara. Ketiga-tiga badan ini, terutama sekali DBP telah banyak menjalankan usaha penerbitan buku ilmu. Dulu usaha menterjemah juga dijalankan oleh DBP, tetapi tugas ini sudah dipindahkan kepada ITNM. Majlis Buku Negara tidak memberi arah konkrit dalam penerbitan buku ilmiah ini.
Usaha penerbitan buku ini boleh ditingkatkan lagi dengan menggunakan institusi yang ada. Umpamanya, usaha penerbitan buku ilmu di Dewan Bahasa dan Pustaka dapat ditingkatkan lagi. Lebih-lebih lagi penerbitan buku yang tidak menguntungkan. Ini perlu ditanggung oleh kerajaan. Nama DBP itu menggambarkan tumpuan perlu diberikan kepada pustaka, iaitu penerbitan buku ilmu. Perhatian yang seimbang perlu diberi kepada bidang ini. Lagipun, DBP dengan bank istilahnya, bilangan penyuntingnya, pengalamannya, harus dapat menjalankan tugas ini dengan lebih berkesan. Ia tidak perlu dibebankan dengan beban mencari keuntungan. Keuntungan dalam industri ini bukan dapat dikira dengan jumlah ringgit yang diperolehi. Keuntungannya ialah dalam jumlah ilmu yang dibukukan untuk rakyat.
ITNM juga tidak harus dibebankan dengan keperluan mencari keuntungan. Walaupun, dengan peruntukan sekian banyak, insitusi seperti INTNM dan DBP mungkin dapat meneruskan usaha menerbitkan buku itu secara berterusan, tanpa bimbang kehabisan wang. Sekali lagi ITNM dan DBP tidak harus dibebankan dengan keperluan mencari untung dalam bentuk kewangan. Keuntungannya ialah dalam kepustakaan bangsa.
Yang menjadi persoalan pokok ialah, antara DBP, ITNM, penerbit-penerbit universiti, penerbit-penerbit swasta, dan badan-badan lain yang mengusahakan perbukuan dalam bahasa Melayu ini perlu digembelingkan dan diselaraskan. Sebuah badan perlu dibentuk untuk menentukan arah, prioriti, dan cara kerjanya. Ini akan dapat dilakukan oleh sebuah badan seperti Lembaga Perbukuan Negara. Di samping memberi arah dan prioriti, ia akan dapat menghidupkan industri lain seperti susun atur huruf, grafik, penyuntingan, pemasaran, percetakan, dll. yang ada kaitan dengan penerbitan buku. Tanpa sebuah Lembaga demikian, usaha perbukuan tidak dapat dijalankan dengan teratur.

Kesimpulan
Daripada tiga cerita industri perbukuan di atas, ternyata industri terjemahan memang boleh menjana industri besar. Kita dapat meniru startegi ini.
Inilah masanya yang tepat. Dalam industri penjualan buku di Malaysia pada hari ini, jualan buku dalam bahasa Melayu makin meningkat. Bertentangan dengan kepercayaan umum, buku-buku Melayu adalah laris berbanding dengan buku Inggeris. Buku-buku dalam bahasa Melayu perlu diperbanyak.
Untuk mencapai hasrat ini dasar yang dapat menggalakkan industri ilmu dalam bahasa Melayu perlu digubal. Kita perlu melaksanakan dasar pendidikan yang memberdayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Secara objektif itulah caranya memandaikan rakyat. Sebagai sarjana, kita mempunyai tanggungjawab pada masyarakat bagi menyatakan yang benar tanpa takut-takut.
Usaha-usaha sokongan yang dapat membantu perkembangan industri perbukuan negara juga perlu diberi perhatian. Majlis Buku Negara yang perlu diaktifkan semula bagi menjalankan tugasnya menyemarakkan industri perbukuan dalam bahasa Melayu.
Dana yang diwujudkan bagi menterjemah dan menerbitkan buku ilmu perlu ditambah dari semasa ke semasa. Dana tersebut dapat digunakan bagi membeli hakcipta buku-buku yang diperlukan. Hakcipta tesrsbut mahal dan sukar dilaksanakan oleh mana-mana penerbit bersendirian. Keuntungannya terletak pada minda bangsa yang dibina. Keuntungan dari segi ringgit tidak wajar digunakan sebagai ukuran.
Sistem percukaian yang tidak membantu perkembangan industri perbukuan dalam bahasa Melayu perlu juga diberi perhatian. Badan-badan yang terlibat terus dengan terjemahan ilmu seperti ITNMB, penerbit universiti, Persatuan Penterjemah Malaysia, dan penerbit-penerbit swasta perlu digalakkan terus memindahkan ilmu ke dalam bahasa Melayu.

BIBLIOGRAFI

Asraf, Manifesto Budaya: Pupus Bahasa, Pupuslah Bangsa, Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia, 1996.

Bennabi, Malik, The Problem of Ideas in The Muslim World, Petaling Jaya: Budaya Ilmu Sdn. Bhd., 1994.

Coulmas, F., With Forked Tongues; What Are National Languages Good For?, Singapore: Karoma Publishers, Inc, 1988.

Hassan Ahmad, Cabaran Dunia Berbahasa Melayu, Pelita Bahasa, November 1995.

Mangantar Simanjuntak, Maju Bahasa Majulah Bangsa, Tamadun, Januari 1997.

Nakosteen, Mehdi, History of Islamic Origins of Western Education A.D. 800-1350, Boulder: University of Colorado Press, 1964.

O’Leary, De Lacy, Arabic Thought and Its Place in History, London, Routledge & Kegan Paul Ltd., 1922 (Cetakan semula 1966).